Apakah negara-negara seperti Iran, Sudan, dan Arab Saudi termasuk negara Islam (Daulah Islamiyah)? Ataukah Negara Malaysia (Islam Hadhari) adalah Negara Islam sebenar yang didambakan oleh Umat Islam?
Banyak kaum Muslim yang keliru ketika menggunakan istilah negara Islam (Daulah Islamiyah). Di antara mereka banyak yang menganggap bahawa negara-negara seperti Iran, Sudan, dan Arab Saudi adalah negara Islam. Menurut mereka, sebutan tersebut layak diberikan (kepada negara-negara tadi), kerana terlaksananya sebahagian hukum-hukum Islam seperti hukum potong tangan bagi pencuri, hukum rejam bagi pelaku zina, hukum sebat bagi peminum khamar (minuman keras) dan sejenisnya di negara tersebut. Untuk mengetahui jawapan persoalan di atas, kita mesti mendalami lebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan negara Islam (Daulah Islamiyah), serta apakah ciri-cirinya sehingga dapat dikategorikan sebagai negara Islam.
Dalam bahasa Arab kalimat daulah, sebenarnya merupakan kalimat asing jika merujuk kepada sebuah negara. Ertinya, kalimat ini tidak dikenal sebelumnya oleh orang-orang Arab pada masa jahiliyah mahupun pada masa datangnya Islam. Wajar, jika kalimat tersebu tidak ditemukan dalam al-Quran mahupun as-Sunnah. Ibn al-Mandzur (w. 711H/1211M), yang mengumpulkan seluruh perkataan orang Arab asli di dalam kamusnya yang amat terkenal, Lisan al-‘Arab, juga membuktikan bahawa kalimat daulah tidak pernah digunakan oleh orang-orang Arab dengan pengertian negara. Ia hanya mengatakan bahawa kalimat daulah atau dulah sama maknanya dengan al-‘uqbah fi al-mal wa al-harb (perputaran kekayaan dan peperangan). Ertinya suatu kumpulan secara bergilir menggantikan kumpulan yang lain. Kata daulah dan dulah memiliki makna yang berbeza. Di antaranya ada yang bererti al-idalah al-ghalabah (kemenangan). Adalana Allah min ‘aduwwina (Allah telah memenangkan kami dari musuh kami) merupakan erti dari kata daulah.
Kepastian tentang bila kalimat daulah digunakan oleh orang Arab dengan pengertian negara, belum diketahui secara pasti. Namun demikian, di dalam Muqaddimah-nya Ibn Khaldun (ditulis tahun 779H) terdapat kata daulah dengan pengertian negara. Kalimat ini tercantum dalam bab fi ma‘na al-khilafah wa al-imamah.
Meskipun kalimat daulah dalam pengertian negara tidak tercantum di dalam al-Quran dan as-Sunah, bukanlah bererti realiti dari kalimat tersebut tidak wujud di dalam Islam. Alasannya, nas menggunakan kata lain yang unik, iaitu al-khilafah, yang menunjukkan makna yang sama dengan kalimat daulah (negara). Di dalam banyak hadis dapat dijumpai kata al-khilafah. Di antaranya adalah hadis berikut:
Dulu, urusan Bani Israel diatur dan dipelihara oleh para nabi. Jika seorang nabi wafat, segera digantikan oleh nabi yang lain. Akan tetapi, setelah aku tidak ada lagi nabi. Yang (akan) ada adalah para khalifah dan jumlahnya banyak. (HR. Muslim dalam bab Imarah)
Walhasil, gambaran sebenar yang dimaksudkan di dalam kalimat daulah (negara) telah disentuh di dalam Islam dengan menggunakan kalimat lain, iaitu khilafah. Ibn Khaldun juga menggunakan kata Daulah Islamiyyah (Negara Islam). Ertinya, kata daulah disifatkan dengan kata Islamiyyah untuk menyebut al-khilafah. Ia memberikan sifat Islamiyah (Islam) terhadap kata daulah (negara), kerana kalimat daulah (negara) memiliki makna umum, mencakup negara Islam dan bukan Islam. Akan tetapi, jika kalimat daulah digandingkan dengan kalimat Islamiyyah, maka ertinya sama dengan al-khilâfah. Oleh kerana itu, kalimat Daulah Islamiyah (Negara Islam) hanya memiliki satu makna, iaitu Khilafah. Selain dari itu (selain Negara Islam), Ibn Khaldun sendiri cenderung menggunakan istilah al-mulk (kerajaan) atau ad-daulah (negara) saja. Sesungguhnya terdapat juga istilah lain yang banyak digunakan oleh para fuqaha yang menggambarkan realiti yang sama dengan Daulah Islamiyah atau Khilafah, iaitu Dar al-Islam. Kalimat Dar al-Islam juga merujuk kepada nas-nas syariat dan memiliki makna syar‘i (al-haqiqah as-syar‘iyyah). Kalimat tersebut dijumpai antara lain, dalam hadis berikut:
“Ajaklah mereka kepada Islam. Jika mereka memenuhi ajakanmu, terimalah mereka, dan cegahlah (tanganmu) untuk memerangi mereka. Kemudian, ajaklah mereka berhijrah dari negeri mereka (dar al-kufr) ke negeri kaum Muhajirin (dar al-Muhajirin). Sampaikanlah (beritahu) kepada mereka, jika mereka melakukannya, mereka akan memperoleh hak-hak dan kewajiban yang sama dengan kaum Muhajirin.” (HR Muslim)
Lawan kata dari dar al-Islam adalah dar al-kufr, dar al-musyrik, atau dar al-harb. Kalimat Dar al-Islam sendiri acap kali disamakan dengan kalimat dar al-Hijrah atau dar al-Muhajirin. Dari sini, sebenarnya terdapat persamaan makna dan realiti pada kalimat Daulah Islamiyah, Khilafah, dan dar al-Islam. Selanjutnya, apa yang menjadi ciri-ciri sebuah negara yang diklasifikasikan sebagai dar al-Islam, atau Daulah Islamiyah, atau Khilafah?
Imam Abu Hanifah menjelaskannya melalui pengertian yang terbalik. Beliau menjelaskan syarat-syarat sebuah dar al-kufr ialah: (1) Di dalamnya diterapkan sistem hukum kufur; (2) Bertetangga (dikelilingi) dengan negeri kufur; (3) Kaum Muslim dan non-Muslim (dari kalangan ahlu dzimmah) tidak memperoleh jaminan keamanan dengan keamanan Islam. Sementara itu, Syaikh ‘Abdul Wabhab Khallaf, dalam bukunya, as-Siyasah asy-Syar‘iyyah, mendefinisikannya dengan lebih jelas sebagai berikut:
Dar al-Islam adalah dar (daerah/negeri) yang di dalamnya dilaksanakan hukum-hukum Islam, sementara sistem keamanan di dalamnya berada dalam sistem keamanan Islam, baik mereka itu Muslim ataupun ahlu dzimmah.
Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani menegaskan lagi bahawa suatu tempat/negeri dapat diklasifikasikan sebagai dar al-Islam jika memenuhi dua syarat: (1) Diterapkannya seluruh peraturan Islam; (2) Sistem keamanannya berada di tangan sistem keamanan Islam, iaitu berada di bawah kekuasaan mereka. Beliau menambahkan lagi bahawa jika salah satu syarat dari kedua syarat tersebut tidak terpenuhi, secara automatik, tempat/negeri tersebut tidak boleh diklasifikasikan sebagai dar al-Islam.
Berdasarkan huraian di atas, negara-negara seperti Iran, Sudan dan Arab Saudi, tidak boleh dikategorikan sebagai dar al-Islam, Daulah Islamiyah (Negara Islam) atau Khilafah Islamiyah. Memang benar, negara-negara tersebut menerapkan hukum Islam, tetapi tidak menyeluruh, yakni terbatas pada hukum hudud, jinayat dan al-ahwâl as-syakhshiyyah (hukum perdata). Sebaliknya, negara-negara tersebut tidak menjalankan hukum-hukum di dalam bidang ekonomi, pemerintahan, politik dalam dan luar negeri, militer, sosial, pendidikan dan lain-lainnya. Apalagi negara seperti Arab Saudi, yang sistem keamanannya sangat bergantung kepada AS dan sekutunya (fakta keberadaan ribuan tentera AS di Arab Saudi). Bahkan, saat ini, tidak ada satu negera Islam pun yang termasuk sebagai Daulah Islamiyah (Negara Islam), Khilafah Islamiyah, atau dar al-Islam. Yang ada hanyalah negeri-negeri Islam (bilad Islamiyah).
Wallahu’alam…
No comments:
Post a Comment